• .
RSS

be my followers, ok?

Fiqh : Merancang Keluarga

Merancang keluarga berbeza dengan membataskan terus kelahiran anak. Merancang keluarga bermaksud merancang untuk menjarakkan kelahiran anak, agar anak-anak sedia ada, dapat membesar dengan selesa dan mendapat perhatian daripada ibu bapa dengan cara yang sepatutnya, sebaliknya di dalam pembatasan keluarga, ia menterhadkan terus kelahiran. Misalnya kepada satu atau dua orang sahaja anak, sedangkan isteri berkemampuan untuk melahirkan anak lebih daripada itu dan tidak ada apa-apa kemudaratan timbul kerana melahirkan anak tersebut.

Merancang keluarga dibenar dan diharuskan, dalam Islam, berdasarkan kepada perancangan keluarga yang dilakukan beberapa orang sahabat Nabi s.a.w. walaupun teknik yang dilakukan mereka sesuai pada zaman itu sahaja.

Antaranya hadis yang diriwayatkan menerusi Jabir bin Abdillah al-Ansarim katanya :

"Kami melakukan Azal (memancarkan mani di luar daripada alat kelamin isteri), sedangkan Al-Quran masih turun."


Salah seorang perawi hadis di atas yang bernama Sufyan membuat ulasan :

"Sekiranya perbuatan melakukan azal dilarang, sudah tentu Al-Quran akan melarang kami melakukannya."


Dalam sebuah hadis lain, yang diriwayatkan menerusi Jabir r.a. juga menjelaskan :

"Kami melakukan azal di zaman Rasulullah s.a.w. dan perkara tersebut sampai ke pengetahuan baginda, namun baginda tidak melarang kami berbuat demikian."


Merancang keluarga bukan bererti membunuh anak pada masa kecil yang dilarang dalam nas :

" Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; 'Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar."" [Al-Isra' : 31]


Ini kerana yang dikatakan membunuh anak ialah apabila sesuatu kandungan itu melepasi tujuh tahap sebagaimana yang dinyatakan sayyiduna Ali k.r.m. iaitu tanah, setitis mani, alaqah (mani yang bergantung pada dinding rahim), mudghah (daging pada tahap yang boleh dimamah), tulang, daging dan manusia yang sempurna.

Keharusan melakukan azal diriwayatkan daripada 10 orang sahabat Rasulullah s.a.w. iaitu Ali, Sa'ad bin Abi Waqqas, Abu Ayyub, Zaid bin Sabit, Jabir bin Abdillah, Abdullah bin Abas, al-Hasan bin Ali, Khabbab bin al-Arth, Abu Sa'id al-Khudri dan Abdullah bin Mas'ud.

Walau bagaimanapun, di dalam melakukan perancangan keluarga, ada beberapa perkara yang perlu dilihat iaitu :

a. bimbang keselamatan nyawa ibu terancam atau gangguan ke atas kandungan baru berdasarkan kepada pengalaman dan perakuan daripada doktor-doktor pakar yang dipercayai, adil dan juga beragama Islam.

b. Bimbang keadaan pendidikan anak-anak yang sedia ada terabai, kerana menumpukan perhatian kepada anak yang baru lahir.

c. Bimbang ke atas keselamatan dan kesihatan bayi yang sedang menyusu akan terganggu, jika isteri mengandung lagi.

d. Mengekalkan kecantikan tubuh badan dan kekemasan diri agar terus boleh dinikmati oleh suami dan mengelakkan daripada diceraikan.

e. Mengelakkan kegawatan serius kepada ekonomi keluarga, sehingga terpaksa melakukan perkara haram untuk mendapatkan sumber rezeki.


Majlis Akademi Fiqh Islam di dalam muktamar kali ke-5 yang berlangsung di Kuwait pula memutuskan isu perancangan keluarga :

a. Tidak harus mengeluarkan sebarang undang-undang umum, yang menyekat kebebasan suami isteri untuk melahirkan anak

b. Haram menghentikan terus kemampuan melahirkan anak pada lelaki atau wanita atau dikenali dengan proses pemandulan, selagi tidak ada keperluan darurat, berdasarkan kepada syarat-syarat yang diizikan syarak.

c. Harus mengawal buat sementara waktu kelahiran anak-anak dengan tujuan menjarakkan tempoh mengandung atau menghentikannya buat sementara waktu, jika terdapat sesuatu hajat yang dibenarkan syarak, berdasarkan depada penilaian yang dibuat oleh pasangan suami isteri dan hasil mensyuarat dan persetujuan daripada keduanya. Tetapi disyaratkan tidak menimbulkan kemudaratan, itulah sahaja cara yang ada dan juga tidak melibatkan pencerobohan ke atas kandungan yang baru.




Dipetik daripada :
Isu-Isu Fiqh Halal dan Haram Semasa (Ilmu, Akidah, Syariah dan Akhlak)
Dr Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari
Halaman 543 - 545
Cetakan 2009

0 discussions:

Referrer

Web Pages referring to this page
Link to this page and get a link back!